Ahad, 18 Oktober 2020 23:32

Jabatan Alam Sekitar Bertindak Pantas Menyiasat Lokasi Pembakaran Terbuka Hasil Aduan Oleh Orang Awam

Pada 11 Oktober 2020, pihak Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Selangor telah menerima aduan berkaitan pembakaran terbuka di Banting, Selangor. Sejurus selepas itu pihak JAS telah menggerakkan pasukan untuk ke lokasi kejadian bagi melakukan siasatan pada hari yang sama.

Hasil siasatan pihak JAS mendapati terdapat aktiviti pembakaran terbuka melibatkan timbunan sisa pepejal berupa sarung plastik (penebat) wayar yang telah diracik dan sisa-sisa papan litar elektronik yang hancur.

Semasa siasatan, tiada sesiapa ditemui di lokasi kejadian. Tiga botol sampel buangan telah diambil dan akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia untuk dianalisis dari segi komposisi kimia buangan yang ditemui.

Kes ini disiasat di bawah Seksyen 29A Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974 iaitu kesalahan melakukan pembakaran terbuka dan Seksyen 34B Akta yang sama iaitu kesalahan menempatkan buangan terjadual iaitu sisa buangan elektrikal dan elektronik tanpa kelulusan JAS.

Tapak pembuangan haram tersebut turut dikepung dengan pita (cordone) bagi mengelakkan pencerobohan bagi pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab untuk melakukan aktiviti yang boleh mencemarkan alam sekitar.

JAS juga akan mengesan pemilik tanah yang bertanggungjawab bagi melengkapkan Kertas Siasatan. Selain itu, siasatan akan diteruskan bagi menjejaki kilang-kilang berdekatan yang menghasilkan buangan dengan ciri yang sama di lokasi kejadian.

Pihak KASA menyeru orang awam untuk terus menyalurkan aduan jika mendapati terdapat aktiviti-aktiviti yang boleh mencemarkan alam sekitar, sila hubungi talian aduan 03-88891972 @ 1800882727 @ laporkan ke https://eaduan.doe.gov.my dengan segera.

Alam sekitar adalah tanggungjawab kita bersama.

#AlamSekitarTanggungjawabBersama
#KementerianAlamSekitarDanAir
#HASN2020
#HariAlamSekitarNegara

Sumber Aduan: https://m.facebook.com/story.php?story_fbid=178349643772098&id=100248081582255&sfnsn=mo

Dikemaskini pada Ahad, 18 Oktober 2020 23:37