Isnin, 30 November 2020 14:32

31st Meeting of ASEAN Senior Officials on the Environment (ASOEN)

Malaysia mempengerusikan Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan ASEAN Mengenai Alam Sekitar (ASOEN) kali ke-31 pada 24 dan 25 November 2020 secara atas talian.

ASOEN merupakan saluran utama serantau bagi membincangkan isu-isu yang berkaitan dengan alam sekitar. Malaysia dipilih menjadi Ketua ASOEN pada tahun ini berdasarkan susunan abjad bagi nama Negara-negara Anggota ASEAN.

Mesyuarat ASOEN kali ke-31 ini telah dipengerusikan oleh YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini bin Ujang, Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA). Kepengerusian bagi Mesyuarat ASOEN adalah selama tiga tahun di mana Mesyuarat yang ke-31 ini adalah mesyuarat terakhir yang dipengerusikan oleh Malaysia selepas mesyuarat yang ke-29 dan ke-30 masing-masing pada tahun 2018 dan 2019.

ASEAN memberi penekanan terhadap kepentingan menangani isu-isu alam sekitar serta kesan dan risiko perubahan iklim atau bencana yang berkaitan dengan iklim terhadap penduduk ASEAN. 

Pemimpin serantau juga telah menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kenaikan paras air laut dan mengakui perlunya kerjasama serantau yang kukuh dalam kalangan Negara- negara Angota ASEAN.

Dikemaskini pada Isnin, 30 November 2020 14:46