Selasa, 01 Disember 2020 14:35

Majlis Menandatangani Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) Malaysian Green Technology And Climate Change Centre (MGTC) Dan RHB Islamic Bank Berhad Bagi Program Rumah Ibadat Hijau (Masjid Hijau) Serta Sokongan Inisiatif Pertumbuhan Hijau

Malaysian Green Technology and Climate Change Centre (MGTC) menandatangani Dokumen Persefahaman (MoU) dengan RHB Islamic Bank Berhad bagi Program Rumah Ibadat Hijau (Masjid Hijau) dan Sokongan Inisiatif Pertumbuhan Hijau. MoU ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MGTC, YBrs. Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor dan Ketua Pegawai Eksekutif RHB Islamic Bank Berhad, YBhg. Dato’ Adissadikin bin Ali. Majlis turut disaksikan oleh Menteri Alam Sekitar dan Air, YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha KASA dan YBrs. Dr. Nagulendran Kangayatkarasu, TKSU (Alam Sekitar) KASA.

MoU ini akan memberikan penekanan dalam aspek sokongan dan kesedaran kepada Insentif Hijau dan Pensijilan, Khidmat Nasihat Hijau dan Pendayaan Kapasiti serta Promosi Hijau dan Pelaburan yang dilaksanakan oleh MGTC. RHB Islamic Bank Berhad melalui kerjasama strategik ini akan menyediakan khidmat nasihat pengurusan kewangan dalam penyaluran aktiviti pengumpulan dana serta menyediakan khidmat nasihat pengurusan kewangan dalam penyaluran dana wakaf.

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar Dan Air (KASA) berkata, “Agenda kelestarian alam sekitar seharusnya dititikberatkan oleh semua pihak. Kerjasama seperti ini harus dipertingkatkan dan saya menyeru agar semua sektor tidak mengira awam atau swasta mencontohi dan merancang program yang memberi nilai positif kepada masyarakat setempat dan alam sekitar”. 

Agensi dan jabatan dibawah KASA telah memilih 12 rumah ibadat di 8 buah Negeri untuk dijadikan Rumah Ibadat Angkat dan menjalankan program Rumah Ibadat Hijau. KASA mensasarkan seratus (100) Rumah Ibadat Hijau akan dapat dilaksanakan pada tahun 2021. Perbincangan awal bersama MGTC, agensi KASA dan rumah ibadat pilihan sedang dijalankan secara berperingkat mengikut kesesuaian keadaan semasa. 

Dikemaskini pada Selasa, 01 Disember 2020 14:48