Isnin, 21 Disember 2020 09:26

Majlis Pelancaran Wakaf Air

17 Dis 2020 - Memorandum Persefahaman (MoU) di antara Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dengan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah dimeterai antara YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha KASA dan YBrs. Prof. Madya Dr. Amir Shaharuddin, Ketua Pegawai Eksekutif YWM sambil disaksikan oleh YB. Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air; YB. Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) merangkap Pengerusi YWM dan YB. Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air. 

Tabung ‘Wakaf Air’ merupakan inisiatif KASA melalui kerjasama YWM bertujuan menyediakan sumber pembiayaan alternatif projek-projek perkhidmatan air secara mudah, cepat dan mampan melalui instrumen wakaf. Wakaf Air menyediakan platform kepada masyarakat awam, korporat dan pihak swasta untuk turut sama mengambil bahagian berdasarkan kemampuan masing-masing dalam usaha Kerajaan menyediakan perkhidmatan air kepada mereka yang memerlukan melangkaui sempadan agama, kaum dan keturunan. Wakaf Air merupakan skim berstruktur untuk membolehkan orang ramai melakukan ibadah wakaf dalam sektor perkhidmatan air yang sangat penting dalam kehidupan manusia. 

Peringkat awal penggunaan dana Wakaf Air adalah bagi membiayai projek-projek perkhidmatan air berskala kecil bernilai di bawah RM50,000.00 seperti penggalian perigi, penyelenggaraan dan pembelian alat ganti bagi meneruskan bekalan air bersih dan penyediaan sumber air alternatif. Sumbangan wakaf ini boleh disalurkan menerusi Sistem Wakaf Tunai Malaysia yang boleh dicapai melalui pautan https://www.ywm.gov.my/wakaf-air. Setiap sumbangan adalah layak mendapat potongan cukai pendapatan di bawah Seksyen 44(11C) Akta Cukai Pendapatan 1967, tertakluk kepada potongan yang boleh dituntut oleh individu adalah 7% dan syarikat 10% daripada pendapatan agregat selaras dengan kelulusan Kementerian Kewangan Malaysia [No. Rujukan Cukai: (8.09)248/40/7-2078(29) bertarikh 17 Julai 2019. 

Dalam majlis yang sama juga, pihak YWM telah menerima sumbangan wakaf daripada pihak KASA melalui potongan gaji pegawai-pegawai secara sukarela dan sumbangan daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Perkhidmatan Pembetungan (JPP).

Dikemaskini pada Isnin, 21 Disember 2020 09:51