YB Dato’ Mansor bin Haji Othman, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air diiringi oleh Ketua Pegawai Eksekutif SPAN, telah mengadakan lawatan kerja ke negeri Johor untuk meninjau projek Skim Bekalan Air Wilayah Iskandar yang sedang dibina oleh Pengurusan Aset Air Berhad (PAAB).
Delegasi rombongan telah disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif Ranhill SAJ Sdn. Bhd. (RSAJ), Sr. Nor Ifuan bin Mohd Noor, Ketua Pegawai Eksekutif PAAB, Encik Abdul Hadi bin Ali serta pegawai-pegawai kanan kedua-dua agensi.
Projek ini merangkumi pembinaan loji rawatan air (LRA) berkapasiti 160 juta liter sehari (JLH) termasuk pembinaan muka sauk, sistem rawatan air serta rangkaian paip agihan yang apabila siap sepenuhnya akan meningkatkan lagi pengeluaran LRA Sultan Iskandar yang sebelum ini telah dinaik taraf daripada 318JLH kepada 378JLH bagi menampung permintaan bekalan air disamping meningkatkan rizab margin di daerah Johor Bahru.
Delegasi turut dibawa melawat Loji Rawatan Kumbahan Berpusat (RSTP) Medini yang mampu merawat sisa kumbahan sehingga 500,000PE namun pada masa kini merawat sisa kumbahan berkapasiti 100,801PE. Sesi taklimat kunjungan telah disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Indah Water Konsortium Sdn. Bhd. (IWK), Encik Narendran Maniam serta pegawai-pegawai kanan IWK.
Timbalan Menteri turut mengunjungi pejabat baharu SPAN Wilayah Selatan yang terletak di Medini 9 dan melancarkan pengoperasian cawangan SPAN di lokasi baharu tersebut. Lawatan kerja ini diakhiri dengan tinjauan ke Centralised Sewage Treatment Plant (CSTP) Sg. Segget yang berkapasiti 150,000PE dengan kapasiti semasa rawatan sebanyak 98,000PE bagi merawat sisa kumbahan serta meningkatkan kualiti air di Sg. Segget.