YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man, Menteri Alam Sekitar dan Air telah menyempurnakan Majlis Pelancaran Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu, pada pagi ini. Turut hadir bersama Yang Berhormat Mulia Tengku Seri Bijaya Raja Datuk Farok Hussin bin Tengku Abdul Jalil, Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu mewakili Yang Amat Berhormat Menteri Besar Terengganu. Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu ini adalah salah satu daripada projek baharu dengan peruntukan sebanyak RM150 juta. Kerja pembinaan telah bermula pada bulan Januari 2022 dan dijangka siap pada Januari 2025. Objektif utama bagi Projek Pemuliharaan Muara Sungai Setiu, ialah:
i) Mengekalkan kedalaman laluan navigasi sebanyak tiga meter bagi memastikan pelayaran yang selesa dan selamat sepanjang masa;
ii) Mengurangkan risiko kehilangan nyawa dan kerosakan harta benda lebih kurang 900 bot nelayan di muara Sungai Setiu;
iii) Meningkatkan tahap keupayaan aliran air sungai agar keadaan di muara sentiasa kekal terbuka;
iv) Meluaskan potensi hasilan ekonomi yang lebih besar kepada aktiviti perusahaan ternakan ikan sangkar, lokan, kepah dan kerang di lagun Setiu.