- YBhg. Dato’ Seri Ir. Dr. Zaini Ujang, Ketua Setiausaha, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah mengadakan kunjungan hormat ke atas YBhg. Datuk Seri Haji Azam bin Baki, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada hari ini.
- Tujuan utama kunjung hormat adalah tindakan susulan daripada hasil Mesyuarat Jawatankuasa Anti Rasuah (JAR) Kebangsaan pada 5 Februari 2021 yang telah memutuskan agar satu Task Force ditubuhkan oleh KASA dengan penglibatan SPRM, Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT). Task Force ini akan membolehkan laporan lengkap disediakan serta tindakan di bawah undang-undang jenayah diambil terhadap pihak yang melakukan pencemaran terutama sekali pencemaran sungai atau sumber air.
- KSU KASA dan Ketua Pesuruhjaya SPRM telah berbincang tentang kerjasama untuk memantapkan lagi tadbir urus dan pemantauan bersepadu terutama sekali dalam aktiviti penguatkuasaan pencemaran sungai atau sumber air.
- Usaha ini diharap dapat meningkatkan lagi keberkesanan tadbir urus untuk memastikan pencemaran alam sekitar tidak berleluasa dan menjamin kesejahteraan rakyat serta kelestarian perkhidmatan alam sekitar dan air di seluruh negara.