PORT DICKSON – Pada 12 Oktober 2020, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima laporan daripada Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM), Jabatan Laut Negeri Sembilan, Jabatan Laut Melaka, pengusaha hotel, nelayan dan penduduk di sekitar Port Dickson mengenai kejadian tumpahan minyak yang telah dikesan sepanjang kira-kira dua (2) kilometer di Pantai Cermin, Port Dickson, Negeri Sembilan dan Tanjung Tuan, Melaka.
Susulan laporan ini, pasukan siasatan JAS telah menjalankan pemeriksaan dan mengutip sampel di kawasan pantai yang tercemar termasuk di tengah laut. Sampel tersebut akan dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi tujuan analisis dan penentuan ciri serta komposisi bahan buangan. JAS dan APMM juga telah melakukan rondaan laut dan pemantauan menggunakan dron bagi mengesan punca tumpahan minyak ini.
Jawatankuasa Tindakan Pembersihan Pantai Peringkat Daerah (JTPPPD) Port Dickson dan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Alor Gajah telah diaktifkan untuk kerja-kerja pembersihan dan pelupusan sisa berminyak akibat pencemaran oleh pihak yang tidak bertanggungjawab ini. Kerja-kerja pembersihan pantai ini akan diterajui oleh Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, JAS Negeri Sembilan dan JAS Melaka, Jabatan Laut Malaysia (JLM), APMM, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Perikanan, Jabatan Perhutanan, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Kes ini akan disiasat di bawah Seksyen 27, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 yang memperuntukkan denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak lebih daripada lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.
UNTUK SIARAN SERTA MERTA – 13 OKTOBER 2020
Orang awam yang mempunyai sebarang maklumat tambahan berhubung kejadian ini diminta untuk menghubungi talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.