KASA_Logo_Ori

KENYATAAN MEDIA

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air

LAWATAN KERJA YB SENATOR DATO’ DR. AHMAD MASRIZAL MUHAMMAD TIMBALAN MENTERI ALAM SEKITAR DAN AIRKE PROJEK RANCANGAN TEBATAN BANJIR SG. TEBONGON (KG.TEGULI), PUTATAN, SABAH

PUTATAN, 17 SEPTEMBER 2020 – YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Bin Muhammad, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air telah mengadakan lawatan kerja ke Projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB)
Sg. Tebongon (Kg. Teguli), Putatan, Sabah yang sedang dilaksanakan
oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Sistem perparitan lama yang tidak efisien telah mengakibatkan kampungkampung dan jalan raya di Kg. Ulu Putatan, Kg. Teguli, Kg. Tebongon dan kawasan komersial Platinum Plaza sering ditenggelami air sedalam 0.5 hingga 1.0 meter. Kekerapan banjir kilat berlaku tidak kurang daripada 5 kali setahun setiap kali hujan lebat turun di kawasan ini.

Projek RTB Sg. Tebongon (Kg. Teguli), Putatan, Sabah telah bermula pada 15 Ogos 2019 dengan tempoh pembinaan selama 24 bulan melibatkan kos projek sebanyak RM18.1 juta. Skop bagi projek ini ialah membina parit konkrit sepanjang 1.75 kilometer dan pembinaanpembetung jalan. Objektif projek ini adalah untuk mengurangkan keluasan kawasan yang terjejas akibat banjir di sekitar kawasan Kg. Teguli, Kg Tebongon dan Kg. Ulu Putatan serta mengurangkan kerosakan harta benda penduduk akibat daripada kejadian banjir kilat. Projek ini dijangka memberi manfaat kepada seramai lebih kurang 3,000 orang penduduk.

YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad memaklumkan bahawa Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) telah memberi keutamaan dan perhatian yang khusus terhadap empat (4) isu utama di Sabah iaitu mengurangkan risiko kejadian banjir melalui projek rancangan tebatan banjir (RTB), yang kedua menaiktaraf sistem pembetungan, ketiga menaiktaraf loji rawatan air termasuk sistem agihan saluran air dan keempat projek mengurangkan risiko hakisan pantai.

Bagi mengatasi masalah banjir di negeri Sabah secara keseluruhan, Kerajaan telah meluluskan sebanyak enam belas (16) projek tebatan banjir dan satu (1) projek saliran mesra alam dengan kos sebanyak
RM827.94 juta yang dilaksanakan di bawah KASA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam RMKe-11. Manakala dalam RMKe-12, JPS telah merangka permohonan projek baharu bagi negeri Sabah
sebanyak dua belas (12) projek dengan jumlah kos sebanyak RM482 juta.

- TAMAT -

YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad

Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air
17 September 2020
Skip to content