- Hari ini saya telah menyerahkan sistem bekalan air terawat kepada penduduk Kampung Melayu Seelong yang biayai pembinaannya melalui Tabung Wakaf Tunai Khas Perkhidmatan Air Malaysia atau ringkasnya ‘Wakaf Air’. Projek ini adalah merupakan projek pertama Wakaf Air yang mana telah dilancarkan pada 17 Disember 2020 lalu hasil kerjasama strategik Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM).
- Majlis penyerahan projek ini turut disaksikan oleh YB. Tuan Haji Tosrin bin Jarvanthi, Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Kerajaan Negeri Johor, YBrs. Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif YWM, YBhg. Datuk Ahmad Faizal Abdul Rahman, Ketua Pegawai Eksekutif, Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN).
- Sistem bekalan air terawat ini telah disediakan oleh SPAN dan operator air Syarikat Air Johor-Ranhill dengan menggunakan pembiayaan daripada Wakaf Air berjumlah RM34,776.00. Sistem ini disambungkan dari sistem retikulasi Taman Impian Jaya, Seelong dan ditakung dalam tangki sedutan berkapasiti 500 gelen untuk dipam ke tangki pengimbang berkapasiti 1,500 gelen sebelum disalurkan ke rumah penduduk kampung.
- Sebanyak 16 buah rumah akan menerima manfaat daripada pelaksanaan projek ini bagi menyelesaikan masalah bekalan air sedia ada yang mana sebelum ini bergantung kepada sumber air tidak terawat daripada pengepaman air telaga, anak sungai, tadahan air hujan, tadahan air mata air.
- Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang bekerjasama untuk menjayakan projek-projek ini khususnya kepada para penyumbang tabung Wakaf Air.