- Saya ingin mengucapkan tahniah dan terima kasih kepada Kerajaan Negeri Melaka kerana telah menganjurkan program mega “Melaka Bumi Lestari” yang merangkumkan sambutan Hari Air Sedunia, Hari Hutan Antarabangsa dan Hari Bumi. Program ini menzahirkan komitmen Kerajaan Negeri Melaka untuk mengutamakan agenda kelestarian alam sekitar selari dengan pembangunan semasa. Agenda kelestarian alam sekitar mesti diarus perdanakan dan dipupuk di peringkat awal lagi.
- Sebagai sebuah negeri yang kaya dengan produk dan perkhidmatan berasaskan pelancongan, peluang mengukuhkan aspek pembudayaan kelestarian alam sekitar wajar diutamakan. Tambahan pula, KASA telah melancarkan program bandar rendah karbon yang menekankan lima aspek utama terdiri daripada pengurangan penggunaan tenaga dan air di kawasan umum, pengurangan pengeluaran emisi daripada kenderaan diesel dan petrol serta pengurangan penjanaan sisa terkumpul di tapak pelupusan.
- Bumi lestari adalah salah satu program dalam Kerangka Perubahan Iklim yang menjadi keutamaan Kerajaan Malaysia. Menerusi Pelan Kelestarian KASA 2020 – 2030, antara inisiatif yang telah dirancang adalah pembangunan hijau, pembangunan pusat inventori gas rumah kaca (GHG) negara, dan komitmen pengurangan 45% intensiti pelepasan GHG menjelang 2030.
- Selain itu juga, buat julung-julung kalinya, KASA akan menganjurkan Majlis Tindakan Perubahan Iklim Malaysia (MyCAC) Bil. 1 Tahun 2021 yang akan dipengerusikan oleh Perdana Menteri pada 13 April 2021. Antara perkara yang akan dibincangkan adalah tindakan, obligasi dan hala tuju status perubahan iklim di Malaysia, Pelan Pembangunan Mobiliti Rendah Karbon, Pelan Induk Bandar Rendah Karbon Negara dan juga Pembangunan Dasar dan Garis Panduan Berkaitan Mekanisme Pasaran Karbon di Malaysia.