- Saya telah mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan Bil. 1 Tahun 2021 di Ibu Pejabat, Jabatan Alam Sekitar, Putrajaya. Mesyuarat ini diadakan bagi melaporkan status terkini keadaan cuaca, tindakan setiap agensi semasa cuaca panas dan kering, tindakan penambahbaikan dan mengatur strategi dalam menghadapi kemungkinan berlakunya insiden jerebu setempat dan merentas sempadan.
- Jabatan Meteorologi Malaysia (JMM) memaklumkan bahawa negara kini berada pada Fasa Peralihan Monsun yang dijangka berterusan sehingga pertengahan Mei 2021. Semasa fasa ini, kejadian ribut petir, hujan lebat dan angin kencang boleh berlaku khususnya pada petang dan awal malam. Cuaca panas dan kering masih boleh berlaku dan akan reda sepenuhnya menjelang April 2021.
- Fenomena ini adalah normal dan berlaku sekitar Februari hingga April pada setiap tahun. Tiada cuaca panas yang luar biasa diramal akan berlaku pada tahun ini. Bagi Februari 2021, jumlah hujan bulanan terendah pada Februari 2021 adalah di Pulau Langkawi dan Alor Setar, Kedah dengan 0.0mm manakala suhu maksimum tertinggi adalah 36.8ﹾC di Kuala Krai, Kelantan pada 26 Februari 2021.
- Sebanyak 1,586 kes pembakaran terbuka dilaporkan bagi tempoh 1 Januari 2021 – 10 Mac 2021. Sebanyak 29 kes kebakaran berskala besar melibatkan hutan simpan kekal, belukar dan hutan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah. Semua kes kebakaran telah berjaya dipadamkan. JAS telah mengambil tindakan penguatkuasaan dengan mengeluarkan 52 field citation, 37 kompaun, 62 notis arahan,168 surat arahan dan 26 penyediaan kertas siasatan untuk tindakan mahkamah ke atas kesalahan melakukan pembakaran terbuka.
- Kerajaan akan mengambil tindakan serius bagi membenteras isu kebakaran di tapak pelupusan sampah haram dan menambahbaik tindakan pencegahan kebakaran hutan dan belukar tanah gambut yang menjejaskan kualiti udara serta menyebabkan jerebu tempatan. Kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka dan jerebu tempatan yang menjejaskan kualiti udara dan kesihatan awam.