KASA_Logo_Ori

KENYATAAN MEDIA

Menteri Alam Sekitar dan Air

PENAHANAN KE ATAS KONTENA YANG DISYAKI MENGANDUNGI BARANG DAGANGAN SISA PLASTIK DARI AMERIKA SYARIKAT KE MALAYSIA

  1. Saya ingin memaklumkan bahawa Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah menerima maklumat daripada Sahabat Alam Malaysia pada 12 Mac 2021 berhubung satu kontena dari Los Angeles, Amerika Syarikat, menggunakan agen perkapalan CMA CGM dan pengeksport Sigma Recycling Inc. yang disyaki mengandungi sisa plastik.
  2. Kapal tersebut telah berlepas dari Los Angeles pada 14 Februari 2021 dan dijangka tiba di Pelabuhan Klang pada 22 Mac 2021. JAS telah menghubungi Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) dan Westport Malaysia Sdn. Bhd. dan Unit Kawalan Kontena Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) untuk tindakan penahanan kontena tersebut.
  3. Pemeriksaan bersepadu JAS bersama JKDM, LPK, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN), Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) akan dijalankan sejurus kontena tiba di Pelabuhan Klang. JAS selaku Competent Authority bagi “kawalan sisa plastik merentas sempadan” di bawah Konvensyen Basel yang mula berkuatkuasa pada 1 Januari 2021, mendapati tiada sebarang permohonan pengimportan sisa plastik ini diterima dari negara pengeksport.
  4. Saya telah mengarahkan JAS bekerjasama dengan pihak berkuasa Amerika Syarikat yang berkenaan untuk membanteras kemasukan haram sisa plastik ke Malaysia dari negara tersebut. Saya juga ingin memberi amaran kepada agen pengimport, syarikat kapal dan pengimport yang “bersubahat” dalam mengimport sebarang sisa terutamanya sisa plastik ke Malaysia sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 43, Akta Kualiti Alam Sekeliling, 1974. Tindakan tegas akan diambil jika mereka gagal mematuhi kriteria dan prosedur pengimportan sisa plastik yang telah ditetapkan oleh Malaysia.

- TAMAT -

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim Tuan Man

Menteri Alam Sekitar dan Air
20 March 2021
  1. Jawatankuasa Induk Jerebu Kebangsaan telah ditubuhkan sejak tahun 1997 dan dipengerusikan oleh Menteri yang bertanggungjawab bagi urusan alam sekitar. Selaras dengan arahan Jemaah Menteri pada 25 Mac 2016, jawatankuasa ini telah dikenali sebagai Jawatankuasa Induk Jerebu dan Cuaca Kering Kebangsaan dan KASA merupakan sekretariat kepada jawatankuasa ini.
  2. Jawatankuasa yang bermesyuarat secara dwi tahunan ini bertanggung jawab untuk melaporkan status semasa berhubung keadaan jerebu dan cuaca panas kering yang melanda negara. Jawatankuasa ini dianggotai oleh pelbagai agensi kerajaan yang berkait rapat dengan pengurusan bencana jerebu termasuk:
    1. Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA)
    2. Kementerian Tenaga dan Sumber Asli;
    3. Kementerian Kesihatan;
    4. Kementerian Pendidikan;
    5. Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi;
    6. Jabatan Alam Sekitar;
    7. Jabatan Meteorologi Malaysia;
    8. Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia;
    9. Polis Diraja Malaysia;
    10. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia;
    11. Agensi Angkasa Malaysia (MYSA);
    12. Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia;
    13. Jabatan Mineral dan Geosains;
    14. Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia;
    15. Jabatan Perhutanan Negeri Sarawak;
    16. Jabatan Perhutanan Negeri Sabah;
    17. Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar Sarawak; dan
    18. Jabatan Perlindungan Alam Sekitar, Sabah.
  3. Kerajaan sentiasa bersedia bagi menghadapi keadaan cuaca panas dan kering dengan mempertingkatkan usaha-usaha pencegahan ke atas aktiviti pembakaran terbuka yang berpotensi menyebabkan berlakunya jerebu di peringkat tempatan. Antara tindakan yang diambil adalah:
    1. mengaktifkan Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan (PTPTK) sejak 22 Februari 2021 kepada agensi pelaksana;
    2. mempertingkatkan rondaan darat dan pemantauan menggunakan dron di kawasan yang telah dikenal pasti mudah terbakar;
    3. mengaktifkan SOP Pencegahan Kebakaran Tanah Gambut sejak 9 Februari 2021 kepada JAS Negeri dan agensi pelaksana;
    4. memantau status kualiti udara dan titik panas secara berterusan;
    5. mengaktifkan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) dengan penglibatan komuniti sebagai mata dan telinga kepada pihak Kerajaan dalam membenteras pencemaran;
    6. mempertingkatkan kempen-kempen kesedaran (Communication, Education and Public Awareness, CEPA) dan penyertaan komuniti khususnya melalui media massa dan sosial bagi mengingatkan orang ramai untuk tidak melakukan pembakaran terbuka; dan
    7. melaksanakan Program Pencegahan Kebakaran dan Pengurusan Tanah Gambut Sering Terbakar melalui pembinaan infrastruktur utama. Sehingga kini, sebanyak 292 buah check dam, 89 buah tube well, 15 buah kolam takungan, 5 buah menara tinjau dan 3 km saluran paip air telah dibina di bawah program ini.
Skip to content