- Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) amat memandang serius berhubung kejadian pencemaran yang semakin berleluasa di Malaysia dan isu ini perlu ditangani secara holistik dan proaktif. Insiden terkini di Sungai Gong, Selangor baru-baru ini telah memberikan impak yang besar kepada kelestarian alam sekitar, ekonomi negara serta menjejaskan kesihatan dan kesejahteraan rakyat.
- Di peringkat global pula, menurut Pertubuhan Bangsa β Bangsa Bersatu (PBB), jenayah alam sekitar merupakan jenayah terancang keempat terbesar selepas dadah, penggubahan wang haram, dan pemerdagangan manusia yang mencecah sehingga USD258 bilion pada tahun 2016. Menurut PBB juga, angka ini meningkat antara 5% hingga 7% setiap tahun. Isu jenayah alam sekitar bukan
sahaja mengancam kelestarian negara dan kesihatan manusia, malah juga menggugat keselamatan negara. - Bagi menangani masalah berkaitan pencemaran alam sekitar di negara ini, Jabatan Alam Sekitar (JAS), Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) dan Jabatan Biokeselamatan (JBK) telah menguatkuasakan undang – undang sedia ada iaitu Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974, Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 dan Akta Biokeselamatan 2007. JAS, JBK dan SPAN telah melaksanakan
pelbagai operasi pemantauan dan penguatkuasaan terhadap punca-punca yang tertakluk di bawah Akta masing-masing. - Namun yang demikian, terdapat beberapa isu dan kompleksiti dalam menjalankan operasi penguatkuasaan yang memerlukan suatu proses perubahan struktur dan pendekatan secara bersepadu dilakukan dengan segera. Agensi-agensi penguatkuasa KASA memerlukan sokongan daripada segi sumber logistik, kepakaran forensik dan risikan, kekuatan anggota penguatkuasa
serta pemantapan undang-undang dan bidang kuasa. Ini memerlukan tindakan bersama yang melibatkan pelbagai agensi penguatkuasa bagi membanteras jenayah alam sekitar.
UNTUK SIARAN SEGERA
- Oleh yang demikian, saya dengan sukacitanya ingin mengumumkan bahawa susulan Mesyuarat Khas KASA dan KDN yang baharu diadakan sebentar tadi, satu pasukan petugas khas cegah jenayah alam sekitar telah ditubuhkan secara rasmi yang melibatkan kerjasama antara unit penguatkuasa JAS, SPAN, JBK dan Polis Diraja Malaysia (PDRM). Unit yang ditubuhkan secara pentadbiran ini dijangka akan dapat beroperasi pada awal Oktober ini.
- Seterusnya, KASA akan mengadakan perbincangan susulan dengan JPA dan Kementerian Kewangan supaya unit ini dapat diperkukuhkan kerana ianya akan melibatkan pertambahan perjawatan dan peruntukan kewangan tambahan.
- Selain daripada itu, mesyuarat juga telah bersetuju bagi membolehkan PDRM mengambil tindakan segera ke atas penjenayah-penjenayah alam sekitar, penurunan kuasa Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 dan Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 akan diberikan kepada PDRM. Setakat ini, perwakilan
kuasa Akta Biokeselamatan 2007 telah diberikan kepada PDRM. - Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Menteri Dalam Negeri kerana memberikan kerjasama sehingga tertubuhnya unit ini.
- Dengan tertubuhnya unit ini, kita berharap akan dapat dengan lebih efektif mencegah, membendung dan menyelesaikan kes jenayah alam sekitar terancang di Malaysia.