KASA_Logo_Ori

KENYATAAN MEDIA

Menteri Alam Sekitar dan Air

PROGRAM “JOM TURUN SUNGAI” BAGI “MENGHARGAI AIR” SEMPENA SAMBUTAN HARI AIR SEDUNIA 2021

  1. Hari Air Sedunia 2021 disambut pada 22 Mac setiap tahun. Manakala perasmian sambutan bagi peringkat kebangsaan pada tahun ini akan diadakan pada pada 27 Mac 2021 bertempat di Sungai Langat, Bandar Baru Bangi berhampiran dengan kampus UKM.
  2. Selaras dengan tema “Menghargai Air”, Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di setiap negeri akan menganjurkan Program Jom Turun Sungai pada 27 Mac 2021 secara serentak di seluruh negara di lokasi-lokasi seperti berikut:
NegeriLokasiNegeriLokasi
PerlisSungai RepohNegeri SembilanSungai Linggi
KedahSungai Titi Teras Melaka Sungai Baru
Pulau PinangSungai Ara dan Sungai RambaiJohorSungai Kim-Kim
PerakSungai KintaKelantanSungai Melawi
Kuala LumpurSungai PenchalaTerengganuSungai Sekilir
SabahSungai Bukau dan Sungai KaranganSarawakSungai Moyan
  1. Objektif program adalah untuk mengajak komuniti setempat membersihkan dan mengindahkan rizab sungai di kawasan masing-masing. Program ini juga adalah selari dengan Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK), bagi melestarikan sumber air melalui pendekatan nature-based solutions. Selain daripada senarai sungai di atas, semua pihak adalah digalakkan untuk menjalankan aktiviti membersihkan sungai di kawasan berhampiran masing-masing pada hari berkenaan.
  2. Program Jom Turun Sungai di seluruh negara ini akan melibatkan aktiviti membersihkan persekitaran sungai, tebing, longkang, alur air dan memperbaiki denai sungai. Penglibatan pelbagai pihak seperti badan korporat, NGO, komuniti setempat, pelajar dan pihak berkuasa dalam program Jom Turun Sungai ini adalah digalakkan memastikan kelestarian dan keindahan sungai serta mengawal aktiviti pencemaran sungai di seluruh negara.
  3. Saya berharap agar aktiviti seumpama ini akan menjadi budaya dan amalan penduduk setempat bagi bersama-sama menghargai sumber air dan melestarikan alam sekitar. Antara contoh yang terbaik adalah inisiatif penduduk Kampung Dato’ Abu Bakar Baginda, Kajang yang bergotong-royong hampir setiap minggu membersihkan Sungai Air Hitam. Selain itu, kerjasama strategik juga dijalinkan antara KASA, Sahabat Sungai Malaysia dan pihak universiti untuk menjayakan program DSK seperti Denai Sungai Klang @ Taman Melawati; Denai Sungai Selaru, Serendah dan Denai Sungai Damansara, Kampus Management and Science University (MSU).

- TAMAT -

YB Dato’ Sri Tuan Ibrahim bin Tuan Man

Menteri Alam Sekitar dan Air
22 March 2022
Skip to content