- Hari ini saya telah menyempurnakan Majlis Perasmian Dan Penyerahan Projek Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1, Living River Bike Trail Dari Chenderoh Ke Jambatan Victoria, Daerah Kuala Kangsar, Perak. Usaha ini adalah inisiatif serampang 2 mata pihak kerajaan untuk mengindahkan kawasan sekitar sungai untuk menjana pertumbuhan ekonomi serta memelihara alam sekitar.
- Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sejumlah RM250 juta di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK-11) untuk melaksanakan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu (PLSB) Sungai Perak Fasa 1. Pelaksanaan projek ini terbahagi kepada 11 komponen yang melibatkan projek tebatan banjir, living river dan saliran mesra alam. Projek Living River – Bike Trail dari Chenderoh ke Jambatan Victoria ini adalah merupakan sebahagian daripada komponen living river. Komponen projek yang bernilai RM2 juta ini telah bermula pada 21 Oktober 2019 dan telah siap pada 6 Disember 2020.
- Projek ini menggunakan jalan kampung sedia ada, rizab sungai dan Jalan JKR sepanjang 25km sebagai laluan berbasikal. Jalan kampung ini adalah jalan penyambung antara kampung-kampung dan juga akses kepada jalan-jalan utama. Pembangunan oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) ini adalah untuk mendorong penduduk tempatan supaya berganding bahu bersama untuk memelihara Sungai Perak secara mampan dan bersih. Di samping itu ianya berupaya menjana peluang pekerjaan dan peluang menambah pendapatan ekonomi. Bagi memperkukuhkan sokongan ini, pendekatan pelaksanaan projek akan menekankan kepada program kerjasama masyarakat di semua peringkat perancangan, pelaksanaan dan pengurusan susulan.
- Saya percaya dengan sokongan semua pihak akan dapat meningkatkan kualiti hidup penduduk dan mewujudkan persekitaran yang kondusif bagi tujuan ke arah kesejahteraan hidup rakyat.