Print this page
Thursday, 17 September 2020 01:19

Majlis Sambutan Hari Malaysia 2020 Bersama Agensi KASA Sabah

Pada 16 September 2020, YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad, Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air telah meluangkan masa dengan warga Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) di Sabah, iaitu Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Sabah, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Sabah dan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Sabah bagi bersama-sama meraikan sambutan Hari Malaysia 2020 di Dewan Serbaguna Likas, Sabah.

Seramai lebih kurang 150 orang warga JPS, JAS dan MetMalaysia Sabah telah hadir semasa majlis ini. Turut hadir, YBrs. Dr. Nagulendran a/l Kangayatkarasu, Timbalan Ketua Setiausaha KASA, YBhg. Dato’ Ir. Dr. Hj. Md Nasir bin Md. Noh, Ketua Pengarah Institut Penyelidikan Air Kebangsaan Malaysia (NAHRIM) dan Tuan Haji Jailan bin Simon, Ketua Pengarah MetMalaysia.

Di dalam ucapannya, YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad menegaskan bahawa tema “Malaysia Prihatin” hendaklah dihayati dan difahami oleh semua warga KASA. Warga KASA Sabah hendaklah sentiasa prihatin dalam memastikan isu-isu berkaitan alam sekitar dan air terutamanya di Sabah, diberi perhatian yang serius oleh jabatan-jabatan yang berkaitan. “Semangat Malaysia Prihatin hendaklah disemarakkan di segenap segi kehidupan, bukan sahaja dalam usaha menamatkan Pandemik Covid-19, tetapi dalam usaha memulihkan semula ekonomi dan kehidupan Rakyat ke arah yang lebih baik”, kata YB Senator Dato’ Dr. Ahmad Masrizal Muhammad.

Beliau turut merasmikan Program Pembersihan Pantai KASA bersama NGO – “Trash Hero” dan menggesa supaya masyarakat bersama-sama membantu dalam mengurangkan masalah sampah di Malaysia dengan mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan mengamalkan gaya hidup hijau.

Last modified on Thursday, 17 September 2020 01:29