Sunday, 18 October 2020 15:51

Kilang Kelapa Sawit Punca Sungai Sembrong Kiri Tercemar Diarah Henti Operasi Oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS)

JAS Cawangan Kluang telah menerima aduan pencemaran air Sungai Sembrong Kiri yang menyebabkan air bertukar warna menjadi kehitaman. Pencemaran tersebut turut mengakibatkan penutupan loji Semberong Timur dan menjadi punca kepada gangguan bekalan air kepada penduduk persekitaran selama beberapa jam. Pada masa ini loji telah beroperasi sepenuhnya

Siasatan lanjut mendapati benteng pada kolam tadahan sebuah kilang kelapa sawit pecah dan JAS Cawangan Kluang telah mengeluarkan arahan supaya operasi kilang dihentikan serta merta. Kilang kelapa sawit tersebut dikenakan tindakan gantung operasi selama 3 bulan dari tarikh 14 Oktober 2020 hingga 14 Januari 2021 kerana kegagalan pihak kilang mematuhi syarat-syarat lesen sepenuhnya terutamanya kegagalan untuk memastikan kolam-kolam pengolahan dibenteng dengan sempurna dan berfungsi dengan baik.

JAS Negeri Johor juga telah mengeluarkan Notis Arahan supaya pihak kilang segera menjalankan kerja-kerja pembaikan bagi mengelakkan air dari kolam tadahan dikawal daripada terus melimpah ke Sungai Sembrong Kiri.

Lesen hanya akan diserah semula jika JAS berpuas hati dengan kerja-kerja pembaikan yang dilaksanakan.

KASA ingin merakamkan penghargaan kepada orang awam yang melaporkan mengenai kejadian ini dan sebarang aduan pencemaran hendaklah dilaporkan terus ke talian bebas tol JAS di 1-800-88-2727 atau email ke aduan_k@doe.gov.my dan melalui portal e-aduan JAS di https://eaduan.doe.gov.my.

#AlamSekitarTanggungjawabBersama
#KementerianAlamSekitarDanAir
#HASN2020
#HariAlamSekitarNegara

Last modified on Sunday, 18 October 2020 16:03