Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna, 2018 – 2030

Pengenalan

Malaysia sentiasa berusaha mempromosikan pembangunan lestari dengan mengimbangi pertumbuhan ekonomi dan perlindungan alam sekitar, sejajar dengan Matlamat Pembangunan Lestari (Sustainable Development Goals) oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB). Namun begitu, pencemaran sisa plastik akibat daripada pengurusan sisanya yang tidak terkawal pada masa ini merupakan masalah yang perlu ditangani secara holistik dalam keseluruhan rantaian nilai plastik tersebut. Malaysia merancang untuk menangani isu ini menggunakan pendekatan serta perspektif nasional dan seterusnya beralih kepada kaedah, konsep serta material yang lebih mesra alam. Ini akan memastikan industri dapat terus berkembang dengan mengadaptasi konsep teknologi hijau dan pada masa yang sama dapat melestarikan alam sekitar. Pelan Hala Tuju ini disediakan sebagai panduan ke arah pengurusan dan penggunaan plastik sekali guna secara holistik di Malaysia.

Pelaksanaan Pelan Hala Tuju

Pelan Hala Tuju ini akan dilaksanakan bermula dari 2018 hingga 2030, dengan penglibatan semua pihak berkepentingan awam dan swasta yang akan memainkan peranan masing-masing untuk memastikan objektif Pelan Hala Tuju ini dapat dipenuhi.

Pelan Hala Tuju ini bertujuan memberi hala tuju dasar kepada semua pemegang taruh yang kepentingan dalam melaksanakan pendekatan yang seragam dan kolektif. Dalam usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju, pembangunan ekonomi harus diseimbangkan dengan perlindungan alam sekitar untuk memastikan kelestarian dan kesejahteraan masyarakat.

Malaysia Sustainable Plastic Alliance (MaSPA)

KASA dengan kerjasama agensi kerajaan, industri dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang berkaitan akan menubuhkan Malaysia Sustainable Plastic Alliance (MaSPA), iaitu satu jaringan persepakatan antara pemegang taruh awam dan swasta dalam usaha mentransformasikan model ekonomi industri plastik ke arah persekitaran Malaysia yang bersih dan sihat menjelang 2020 yang juga sebagai sebahagian daripada rancangan KASA dalam melaksanakan Pelan Hala Tuju Malaysia Ke Arah Sifar Plastik Sekali Guna, 2018-2030.

MaSPA bermatlamat untuk mengumpulkan semua pihak berkepentingan/ pemegang taruh yang perlu dilibatkan dalam menangani masalah pencemaran sisa plastik agar tindakan secara kolektif dapat dilaksanakan bagi mengurangkan penggunaan plastik sekali guna dan membangunkan sebuah ekonomi kitaran untuk industri plastik di Malaysia. 

Sebarang organisasi yang berminat untuk menyertai MaSPA bolehlah mengemukakan maklumat di laman https://tinyurl.com/sustainableplastics

PROGRAM "PLASTICBUSTERS"

APA ITU PLASTICBUSTERS?

Bagi menangani pencemaran sisa plastik di Malaysia yang meruncing akibat plastik sekali guna di Malaysia, KASA telah melancarkan inisiatif berbentuk kesukarelaan di kalangan warga Kementerian, Jabatan dan Agensi sebagai low hanging fruits dan menjadi role model dalam menangani pengurusan sisa plastik sekali guna.

Ahli PLASTICBUSTERS berperanan sebagai “ejen perubahan” dalam menghindari penggunaan plastik sekali guna di pejabat selaras dengan pendirian Kerajaan yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna, 2018 – 2030.Tujuan program ini adalah untuk menggalakkan warga KASA menghindari penggunaan plastik sekali guna dalam urusan harian melalui beberapa kaedah seperti berikut:

  • membudayakan amalan menghindari penggunaan plastik sekali guna;
  • menggalakkan penggunaan bekas sendiri dan beg guna semula semasa membeli dan membungkus makanan, 
  • mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula; dan
  • mengamalkan gaya hidup hijau dalam kehidupan seharian

Di peringkat awal, seramai 57 ahli PLASTICBUSTER akan menggerakkan inisiatif kesedaran ini di peringkat jabatan masing-masing dan keanggotaannya akan ditambah dari semasa ke semasa. Inisitif yang bermula di KASA ini akan turut diperluas ke seluruh pejabat pentadbiran kerajaan seluruh negara. Ayuh! Kita bersama-sama Hindari Plastik Sekali Guna! Be FantasticUse Less Plastic!